Nama sebenar Usman Awang ialah Wan Osman bin Wan Awang. Beliau dilahirkan pada 12 Julai 1929 di Kampung Tanjung Lembu, Kuala Sedili, Kota Tinggi Johor Darul Takzim. Usman Awang dikenali juga dengan nama penanya iaitu Tongkat Warrant, Adi Jaya, Atma Jiwa, Manis, Pengarang Muda, Ros Murni, U.A, Setiabudi, dan Zaini. Usman Awang sebagai seorang tokoh dalam kesusasteraan Melayu moden, khususnya sajak dan drama amat banyak diperkatakan. Maka itu, nama Usman Awang paling terkenal dalam kalangan pengkaji dan peminat sastera Melayu pada pelbagai peringkat dan golongan. Kejayaannya mempertahankan dirinya sebagai seorang penyair budayawan yang terus kreatif memberikan semacam keteguhan terhadap tradisi baharu sastera kita.
Beliau adalah seorang penyair yang tidak pernah pudar dan sentiasa dapat menyesuaikan dirinya dalam pelbagai zaman dan situasi. Pendidikan yang diterima oleh Usman Awang hanya setakat sekolah Melayu. Situasi dan keluarganya yang miskin tidak membolehkan beliau untuk meneruskan pendidikannya. Beliau disekolahkan di Kuala Sedili (1936), Mersing (1937), dan Bandar Maharani (1940) hingga lulus darjah enam. Semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu pada tahun 1942, Usman Awang menjadi petani di Segamat. Tidak lama kemudian beliau menjadi buruh paksa Jepun dan selama enam bulan di Singapura, beliau berjaya melepaskan diri dan pulang ke Segamat. Usman Awang pernah menjadi "budak pejabat" di Pejabat Tali Air Segamat dalam zaman Jepun dan kemudiannya memasuki Pasukan Polis Jepun (Botai), tetapi selepas beberapa minggu menjalani latihan, Jepun menyerah kalah. Usman Awang menjadi anggota polis apabila Inggeris kembali memerintah Tanah Melayu pada tahun 1946. Beliau menjalani latihan di Johor Bahru sebelum menjalankan tugasnya di Melaka. Pada tahun 1951, beliau meletakkan jawatannya sebagai anggota polis dan berhijrah ke Singapura bersama-sama Jamil Sulung. Di Singapura, Usman diterima bekerja sebagai pembaca pruf dengan Melayu Raya selama enam bulan, kemudian menjadi pemberita sebelum menjadi sidang pengarang Mingguan Melayu.
Pada tahun 1952, Usman Awang ditawarkan bekerja dengan Utusan Melayu, sebagai sidang pengarang akhbar Utusan Kanak-kanak, kemudian diangkat menjadi pengarang akhbar Utusan Zaman dan Majalah Mastika. Selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, Utusan Melayu berpindah ke Kuala Lumpur, dan Usman Awang turut serta dalam memegang jawatan yang sama. Akibat peristiwa pemogokan Utusan Melayu dalam tahun 1961 Usman berhenti dari Utusan Melayu dan terpaksa menganggur buat beberapa waktu.
Pada tahun 1962, Usman diterima bekerja dengan Penerbitan Federal dan setahun kemudian berkhidmat pula dengan Dewan Bahasa dan Pustaka, mula-mula sebagai sidang pengarang Dewan Bahasa, dan kemudian pengarang Dewan Masyarakat, Dewan Sastera dan Dewan Budaya. Jawatan beliau di Dewan Bahasa dan Pustaka ialah sebagai Pegawai Penyelidik Kanan, Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Sastera. Mulai Mei 1982, beliau turut menjadi Ketua Bahagian ini sehingga bersara pada bulan Julai 1985.
Usman Awang adalah antara penyair Melayu yang berhasil mengekalkan semangat dan harmoni pantun dalam puisi-puisinya walaupun dengan melonggarkan beberapa ikatan yang konvensional. Beliau menggunakan kata-kata biasa dalam penulisannya dan pintar dan menjalin kata-kata itu hingga menjadi begitu indah dan berkesan tanpa melemahkan makna yang hendak disampaikan. Inilah antara keistimewaan Usman Awang. Beliau juga menulis cerpen tetapi bidang ini nampaknya sudah lama ditinggalkan sejak akhir tahun- tahun 1960-an. Cerpen yang banyak dihasilkan dalam tahun-tahun 1950-an dan 1960-an lebih memperlihatkan sikap dan pegangannya yang lebih ketara terhadap konsep 'Seni untuk Masyarakat' yang didukungnya sebagai anggota ASAS 50. Oleh itu, cerpen-cerpen yang dihasilkan hanyalah berupa rakaman pengalaman, pergaulan dan pemerhatian untuk mendedahkan segala kejelikan dan keburukan serta kepincangan hidup dalam masyarakat Melayu khususnya. Dalam pada itu, beliau tidak juga terlepas daripada memperlihatkan pandangan seorang anak muda yang berjiwa romantis dan idealis.
Selain bidang cerpen, Usman Awang juga bergiat dalam penulisan puisi, novel dan juga drama. Beliau terkenal dengan karyanya dalam bidang puisi berbanding dengan cerpen, drama dan novel. Karya-karya yang dihasilkan oleh beliau banyak mendapat sambutan dari pelbagai pihak. Tanggal 29 November 2001, Sasterawan Negara yang banyak menabur budi dan mengangkat kedudukan dunia sastera moden di negara ini kembali ke Rahmatullah. Pemergian beliau telah menyebabkan negara kita kehilangan seorang tokoh yang banyak berjasa dalam dunia kesusasteraan.

No comments:
Post a Comment