Saturday, January 16, 2010

SEKAPUR SIREH SEULAS PINANG

Bismillahirrahmanirrahim....

Alhamdulillah, bersyukur ke hadrat Ilahi kerana dengan limpah kurnia serta izinNya dapatlah kami menyiapkan blog tokoh kajian kami untuk subjek Cerpen Melayu (SKMM1043). Di kesempatan ini, kami ingin merakamkan ucapan ribuan terima kasih sebagai tanda penghargaan kami kepada semua yang terlibat sama ada secara langsung atau tidak dalam menyiapkan blog tentang tokoh kajian kami ini. Terima kasih yang tidak terhingga juga diucapkan kepada pensyarah kesayangan kami iaitu Dr. Mawar Shafei yang banyak memberikan tunjuk ajar, dorongan dan semangat kepada kami dalam usaha untuk menyiapkan blog ini.

Ucapan terima kasih juga ditujukan kepada sahabat seperjuangan yang bertungkus lumus mengerah keringat untuk menyempurnakan blog tokoh kajian kami iaitu Usman Awang.

Untuk pengetahuan semua, blog yang kami sediakan ini adalah sebagai tanda ingatan dan penghargaan kami terhadap pejuang sastera yang tidak asing lagi dalam dunia kesusasteraan iaitu Allahyarham Dato' Usman Awang. Setiap perjalanan seni beliau khususnya bidang sastera dimuatkan dalam blog ini. Fokus utama blog ini hanya dalam bidang CERPEN. Blog yang kami sediakan ini juga merupakan sebahagian daripada markah penilaian untuk subjek cerpen Melayu (SKMM1043) semester ke-2 bagi sesi pengajian 2009/2010 di bawah program Persuratan Melayu, Pusat Pengajian Bahasa, Kebudayaan dan Kesusasteraan Melayu (PPBKKM), Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan, Universiti Kebangsaan Malaysia.


Blog ini juga akan dinilai oleh pensyarah kursus Cerpen Melayu (SKMM1043) iaitu Dr. Mawar Shafei yang juga merupakan Ketua Program di pusat pengajian kami. Pembahagian blog ini meliputi biografi tokoh, karya dan sumbangan, anugerah dan pengiktirafan. Selain blog Usman Awang, terdapat juga blog-blog dari kumpulan lain yang mengkaji tokoh seperti Zaharah Nawawi, Salmi Manja, Awam il-Sarkam, Ali Majod, Ishak Hj Muhammad, Abdullah Tahir, Mana Sikana, A. Samad Said dan Hamzah Hussain.

Akhir kata, kami amat mengalu-alukan cadangan dan komen daripada semua dalam usaha untuk memperbaiki lagi tugasan kami ini.

***SELAMAT MELAYARI BLOG USMAN AWANG***




Wednesday, January 13, 2010

BIOGRAFI

Nama sebenar Usman Awang ialah Wan Osman bin Wan Awang. Beliau dilahirkan pada 12 Julai 1929 di Kampung Tanjung Lembu, Kuala Sedili, Kota Tinggi Johor Darul Takzim. Usman Awang dikenali juga dengan nama penanya iaitu Tongkat Warrant, Adi Jaya, Atma Jiwa, Manis, Pengarang Muda, Ros Murni, U.A, Setiabudi, dan Zaini. Usman Awang sebagai seorang tokoh dalam kesusasteraan Melayu moden, khususnya sajak dan drama amat banyak diperkatakan. Maka itu, nama Usman Awang paling terkenal dalam kalangan pengkaji dan peminat sastera Melayu pada pelbagai peringkat dan golongan. Kejayaannya mempertahankan dirinya sebagai seorang penyair budayawan yang terus kreatif memberikan semacam keteguhan terhadap tradisi baharu sastera kita.

Beliau adalah seorang penyair yang tidak pernah pudar dan sentiasa dapat menyesuaikan dirinya dalam pelbagai zaman dan situasi. Pendidikan yang diterima oleh Usman Awang hanya setakat sekolah Melayu. Situasi dan keluarganya yang miskin tidak membolehkan beliau untuk meneruskan pendidikannya. Beliau disekolahkan di Kuala Sedili (1936), Mersing (1937), dan Bandar Maharani (1940) hingga lulus darjah enam. Semasa pendudukan Jepun di Tanah Melayu pada tahun 1942, Usman Awang menjadi petani di Segamat. Tidak lama kemudian beliau menjadi buruh paksa Jepun dan selama enam bulan di Singapura, beliau berjaya melepaskan diri dan pulang ke Segamat. Usman Awang pernah menjadi "budak pejabat" di Pejabat Tali Air Segamat dalam zaman Jepun dan kemudiannya memasuki Pasukan Polis Jepun (Botai), tetapi selepas beberapa minggu menjalani latihan, Jepun menyerah kalah. Usman Awang menjadi anggota polis apabila Inggeris kembali memerintah Tanah Melayu pada tahun 1946. Beliau menjalani latihan di Johor Bahru sebelum menjalankan tugasnya di Melaka. Pada tahun 1951, beliau meletakkan jawatannya sebagai anggota polis dan berhijrah ke Singapura bersama-sama Jamil Sulung. Di Singapura, Usman diterima bekerja sebagai pembaca pruf dengan Melayu Raya selama enam bulan, kemudian menjadi pemberita sebelum menjadi sidang pengarang Mingguan Melayu.

Pada tahun 1952, Usman Awang ditawarkan bekerja dengan Utusan Melayu, sebagai sidang pengarang akhbar Utusan Kanak-kanak, kemudian diangkat menjadi pengarang akhbar Utusan Zaman dan Majalah Mastika. Selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, Utusan Melayu berpindah ke Kuala Lumpur, dan Usman Awang turut serta dalam memegang jawatan yang sama. Akibat peristiwa pemogokan Utusan Melayu dalam tahun 1961 Usman berhenti dari Utusan Melayu dan terpaksa menganggur buat beberapa waktu.

Pada tahun 1962, Usman diterima bekerja dengan Penerbitan Federal dan setahun kemudian berkhidmat pula dengan Dewan Bahasa dan Pustaka, mula-mula sebagai sidang pengarang Dewan Bahasa, dan kemudian pengarang Dewan Masyarakat, Dewan Sastera dan Dewan Budaya. Jawatan beliau di Dewan Bahasa dan Pustaka ialah sebagai Pegawai Penyelidik Kanan, Bahagian Pembinaan dan Pengembangan Sastera. Mulai Mei 1982, beliau turut menjadi Ketua Bahagian ini sehingga bersara pada bulan Julai 1985.

Usman Awang adalah antara penyair Melayu yang berhasil mengekalkan semangat dan harmoni pantun dalam puisi-puisinya walaupun dengan melonggarkan beberapa ikatan yang konvensional. Beliau menggunakan kata-kata biasa dalam penulisannya dan pintar dan menjalin kata-kata itu hingga menjadi begitu indah dan berkesan tanpa melemahkan makna yang hendak disampaikan. Inilah antara keistimewaan Usman Awang. Beliau juga menulis cerpen tetapi bidang ini nampaknya sudah lama ditinggalkan sejak akhir tahun- tahun 1960-an. Cerpen yang banyak dihasilkan dalam tahun-tahun 1950-an dan 1960-an lebih memperlihatkan sikap dan pegangannya yang lebih ketara terhadap konsep 'Seni untuk Masyarakat' yang didukungnya sebagai anggota ASAS 50. Oleh itu, cerpen-cerpen yang dihasilkan hanyalah berupa rakaman pengalaman, pergaulan dan pemerhatian untuk mendedahkan segala kejelikan dan keburukan serta kepincangan hidup dalam masyarakat Melayu khususnya. Dalam pada itu, beliau tidak juga terlepas daripada memperlihatkan pandangan seorang anak muda yang berjiwa romantis dan idealis.

Selain bidang cerpen, Usman Awang juga bergiat dalam penulisan puisi, novel dan juga drama. Beliau terkenal dengan karyanya dalam bidang puisi berbanding dengan cerpen, drama dan novel. Karya-karya yang dihasilkan oleh beliau banyak mendapat sambutan dari pelbagai pihak. Tanggal 29 November 2001, Sasterawan Negara yang banyak menabur budi dan mengangkat kedudukan dunia sastera moden di negara ini kembali ke Rahmatullah. Pemergian beliau telah menyebabkan negara kita kehilangan seorang tokoh yang banyak berjasa dalam dunia kesusasteraan.

KARYA DAN SUMBANGAN

Allahyarham Usman Awang semasa hayatnya, banyak memberikan sumbangan terhadap puisi Melayu namun tidak dinafikan juga beliau turut menghasilkan karya seperti cerpen. Antara cerpen yang dihasilkan oleh beliau ialah :

***CERPEN ECERAN***
  • Peristiwa Bunga Telur (Utusan Zaman, 24 April 1949)
  • Mulanya Dia Menjadi Mata-mata (Utusan Zaman, 19 Jun 1949)
  • Berhari Raya ke Rumah Tunang (Utusan Zaman, 24 Julai 1949)
  • Hinakah Aku Mencintai Seniwati (Utusan Zaman, 21 Ogos 1949)
  • Wang Mengatasi Cinta (Utusan Zaman, 9 Oktober 1949)
  • Cinta di Negara Hang Tuah (Utusan Zaman, 12 Februari 1950)
  • Nasib Seorang Ibu Tua (Utusan Zaman, 7 Mei 1950)
  • Untuk Jadi Orang Bangsawan (Utusan Zaman, 17 September 1950)
  • Surat daripada Seorang Mata-mata (Utusan Zaman, 22 Oktober 1950)
  • Bini Muda (Utusan Zaman, 19 November 1950)
  • Isi Sepucuk Surat (Hiburan, 15 April 1950)
  • Laut Tak Bertepi (Utusan Zaman, 20 Mei 1951)
  • Manusia dan Hidup (Utusan Zaman, 10 Jun 1951)
  • Kenalan Baru (Utusan Zaman, 21 Oktober 1951)
  • Terbitnya Matahari Pagi (Utusan Zaman, 25 November 1951)
  • Kejadian di Kampung (Utusan Zaman, 23 Disember 1951)
  • Sepanjang Jalan dari Melaka ke Lubuk Cina (Utusan Zaman, 20 Mei 1951)
  • Kisah Baru (Mastika, Januari 1951)
  • Menentang (Mastika, Mei 1951)
  • Surat dari Seorang Teman (Mutiara, November 1951)
  • Bunga Hidupku (Utusan Zaman, 24 Ogos 1952)
  • Melihat Bintang-bintang Seni (Utusan Zaman, 21 September 1952)
  • Pengertian Cinta Buat Temanku di Negara Sunyi (Utusan Zaman, 30 November 1952)
  • Pilihan Raya (Utusan Zaman, 11 Disember 1952)
  • Untuk Malaya Merdeka (Mastika, Oktober 1952)
  • Manusia-manusia yang Hidupnya Bertujuan (Utusan Zaman, 23 Mac 1953)
  • Aku dan Kekasihku (Utusan Zaman, 12 Julai 1953)
  • Mencari Bakat (Mastika, April 1953)
  • Kisah Bersambung (Utusan Zaman, 7 Februari 1954)
  • Mencari Dahan Tempat Bergantung (Mastika, Mac 1954)
  • Baik Hati (Mastika, April 1954)
  • Tak Kenal Maka Tak Cinta (Mastika, November 1954)
  • Alkisah (Utusan Zaman, 21 November 1954)
  • Kisah Pertama (Mastika, Julai 1954)
  • Yang Tempang (Mastika, Oktober 1954)
  • Setelah 1948 dan Beginilah Selalunya (Mastika, Disember 1955)
  • Dan Beginilah Selalunya (Utusan Zaman, 18 Disember 1955)
  • Lorong Cantik Penuh Kelikir (Utusan Zaman, 8 Januari 1956)
  • Uda dan Dara (Mastika, Mac 1956)
  • Dari Johor Bahru ke Kota Tinggi (Utusan Zaman, 1 Julai 1956)
  • Tanah yang Kekeringan Benih (Utusan Zaman, 15 Julai 1956)
  • Kenangan Jauh (Mastika, September 1956)
  • Menyambut Lawatan Ketua Tertinggi Barisan Pemuda (Utusan Zaman, 18 November 1956)
  • Cerita Sebuah Rumah Batu (Utusan Zaman, 9 Disember 1956)
  • Inilah Soal Pokoknya (Utusan Zaman, 24 Februari 1957)
  • Banjir (Utusan Zaman, 19 Disember 1957)
  • Kenang-kenangan dan Harapan (Utusan Zaman, 9 Februari 1958)
  • Tangan yang Pendek Janganlah Memeluk Gunung ( Utusan Zaman, 10 Ogos 1958)
  • Turunnya Sebuah Bendera (Utusan Zaman, 7 September 1958)
  • Suami dan Isteri (Utusan Zaman, 2 November 1958)
  • Sebiji Peluru Karbain yang Telah Kosong (Utusan Zaman, 3 Mei 1959)
  • Sebuah Kenangan yang Menghiris (Utusan Zaman, 23 Ogos 1959)
  • Manusia yang Miskin (Berita Harian, 7 Januari 1960)
  • Harga Hidup (Dewan Masyarakat, Julai 1962, bil. 7, Jilid v1)
  • Harga Hidup (Dewan Bahasa, Julai 1962)

***KUMPULAN CERPEN***

  1. KAMI YANG TERLIBAT
  • Untuk Jadi Isteri Orang Bangsawan (1950)
  • Uda dan Dara (1956)
  • Turunnya Sebuah Bendera (1958)
  • Surat dari seorang Mata-mata (1950)
  • Setelah 1948 (1955)
  • Sebuah Khemah Didirikan
  • Rimbaku, Air Mataku (1980)
  • Pertemuan (1977)
  • Menonton (1952)
  • Peristiwa Bunga Telur (1949)
  • Matinya Seorang Perempuan (1959)
  • Koperal Tua (1962)
  • Koktel (1969)
  • Kenangan Jauh (1956)
  • Kami yang Terlibat
  • Ini saya Punya Kerja
  • Haslina (1955)
  • Harga Hidup (1962)
  • Budi
  • Betisnya Bunting Padi (1963)



ANUGERAH DAN PENGIKTIRAFAN


  • Pejuang Sastera (1976)
  • SEA Write Award (1982)
  • Anugerah Sastera Negara (1983)
  • Ijazah Kehormat Doktor Persuratan Universiti Malaya (1983)
  • Anugerah Zamalah Sastera Kategori Penulis Terkenal Veteran (1985)
  • Darjah Kebesaran Dato' Paduka Mahkota Perak (1991)
  • Anugerah Penyair Johor (1995)
  • Anugerah Seniman Agung (1999)

Tuesday, January 12, 2010

BIBLIOGRAFI

Dinsman dan Sutung Umar Rs. 1983. Sikap dan Pemikiran Usman Awang. Petaling Jaya: Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd.


Dinsman (peny). 1995. Koleksi Terpilih Usman Awang. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.


Hamzah Hamdani. 2003. Usman Awang: Penghubung Sastera Moden dengan Akar Umbi. Johor Bharu: Yayasan Warisan Johor.


Muhammad Haji Salleh. 2006. Seorang Penyair, Sebuah Benua Rusuh: Biografi Usman Awang. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.


Othman Puteh. 1999. Mutakhir Abad 20 Kumpulan Cerpen dan Puisi Tongkat Warrant Seniman Agung. Kuala Lumpur: Utusan Publication & Distributions Sdn. Bhd.


Usman Awang. 1963. Degup Jantung. Kuala Lumpur: Pustaka Melayu Baru.



Usman Awang. 2005. Kami Yang Terlibat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.


Zurinah Hassan. 2006. Sasterawan Negara: Usman Awang. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa dan Pustaka.